Demi Islam, PAS Boleh Kerjasama Dengan UMNO

Ahli Jawantankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan DAP telah hilang bentuk apabila PAS keluar daripada gabungan parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Katanya, DAP yang mengetuai Pakatan Harapan juga dilihat tidak akan mampu untuk menguasai Putrajaya pada PRU-14.

“Dua keadaan sahaja DAP boleh menang (menawan Putrajaya), pertama menjadikan bukan Islam sebagai majoriti dalam negara kita namun bagi saya jauhlah memandangkan statistik umat Islam di negara kita bertambah.

“Kedua, DAP hanya boleh menang apabila umat Islam ini hidup dalam keadaan hanyut, hanyut tidak jaga agama, mereka hanya hendak jaga duit, ekonomi, perut maka di sini mereka akan terkesan dengan umpan DAP tetapi kita yakin usaha dakwah yang dibuat oleh PAS, orang Melayu tidak sampai tahap lalai sehingga menerima perjuangan DAP,” katanya.

Tambahnya, PAS akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO bagi memastikan matlamat besar parti itu untuk mendaulatkan Islam di negara ini berjaya.

“Apabila Pakatan Rakyat berpecah, akan berlaku pertandingan tiga penjuru, bagi saya UMNO sudah mendapat satu markah, PAS satu markah manakala Pakatan Harapan, kosong.

“UMNO mendapat markah kerana mereka lega tiada pertandingan dua penjuru. PAS pula mendapat markah apabila UMNO terpaksa berlembut dengan PAS dalam isu agama manakala Pakatan Harapan kosong kerana mereka hanya harapkan kemenangan Putrajaya tanpa daulat Islam,” katanya. – 7 Mei 2017.