Hukuman Penjara Peniaga Gagal Patuhi Kebersihan

Peniaga makanan yang gagal mematuhi aspek kebersihan akan dikenakan tindakan tegas termasuk penjara tidak melebihi dua tahun.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, Jabatan Kesihatan akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Ia akan melibatkan kompaun dan penutupan premis makanan sekiranya didapati tahap kebersihan serta keselamatan makanan dijual kurang memuaskan.

“Pengeluaran notis memerintahkan kehadiran di mahkamah di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 akan diberikan penekanan terutamanya bagi kesalahan di bawah Peraturan 11(1)b dan 33, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Iaitu kewajipan pengusaha premis makanan memastikan pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat vaksin anti tifiod serta berkaitan dengan kebersihan diri pengendali makanan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Razin mengingatkan semua pengendali makanan agar mematuhi peraturan-peraturan tersebut sebelum mengendalikannya.

Peringatan itu dibuat sempena bulan puasa yang akan disambut oleh seluruh umat Islam tidak berapa lama lagi di mana pada bulan ini orang ramai selalunya tidak melepaskan peluang mencari rezeki dengan berniaga pelbagai jenis makanan dan juadah.

Tegasnya, pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius soal kebersihan makanan dijual sepanjang Ramadan tahun ini bagi memastikan ia tidak menjadi punca jangkitan penyakit berjangkit seperti demam kepialu, taun dan keracunan.

Katanya, bagi mencapai matlamat tersebut Jabatan Kesihatan Negeri akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan. – 7 Mei 2017.