Kastam Tahan Tiga Lelaki, Rampas Mercun Dan Rokok Seludup

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan tiga lelaki dan merampas mercun serta rokok seludup dalam sekatan jalan raya di dua lokasi berasingan Khamis lalu.

Pengarahnya, Mohd. Nasir Yusoff berkata, dalam sekatan pertama pukul 3.30 pagi di Wakaf Bata, Machang pihaknya menahan sebuah lori 5 tan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 174 kotak mercun seberat 4,078 kilogram yang dianggarkan bernilai RM81,560.

“Kita percaya bekalan mercun yang diperolehi dari negara jiran ini dibawa untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur sempena musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir berkata, pihaknya juga menahan dua lelaki warganegara Thailand dan Myanmar berusia lingkungan 20-an dalam sekatan jalan raya kedua di Kampung Pachakan Besut, Terengganu kira-kita pukul 6 pagi hari yang sama.

“Pemeriksaan ke atas dua kenderaan jenis Perodua Alza dan Proton Preve itu turut menemukan 1,150 bungkus rokok seludup jenama SAAT seberat 195.5 kg yang bernilai RM11,500.

“Ketiga-tiga yang ditahan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah nilai barangan terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lanjutan daripada Ops Asap yang dilancarkan 9 April lalu, sebanyak 58 kes dikesan berkaitan penjualan rokok tidak sah di sekitar bandar Kota Bharu.

“Daripada jumlah tersebut, 55 kes telah dikompaun dan tiga lagi kes masih dalam siasatan.

“Sepanjang seminggu Ops ini diadakan, jumlah kompaun yang diperoleh adalah sebanyak RM140,000 melibatkan nilai rampasan rokok tidak sah sebanyak RM42,347 dan cukai terlibat sebanyak RM528,597,” katanya.

Tambah beliau, Ops berkenaan akan diteruskan di premis, bazar, kedai runcit dan rumah yang disyaki menyimpan rokok seludup atau tidak sah untuk jualan tempatan. – 7 Mei 2017.