Melayu, Islam Mula Tunjuk Kebangkitan

Orang Melayu dan Islam di negara ini dilihat sudah mula menunjukkan kebangkitan dan ingin melihat UMNO terus mengekalkan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, orang Melayu sedar bahawa selama ini UMNO menjadi parti yang memberi manfaat kepada mereka dan tsunami politik yang berlaku dalam dua pilihan raya terdahulu diyakini tidak akan berlaku lagi kali ini.

“Kita lihat orang Melayu sudah mula insaf dan sedar bahawa mereka memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, kukuh serta stabil dan UMNO terbukti telah membawa banyak manfaat kepada orang Melayu.

“Malah UMNO dan BN juga mempunyai rekod yang baik sepanjang memerintah negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, hubungan baik antara PAS dan UMNO kebelangkangan ini turut membantu kepada kebangkitan Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, sejak kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu bekerjasama khususnya dalam hal berkaitan dengan kepentingan ummah, didapati ketegangan dalam masyarakat kini semakin berkurangan.

“Perkembangan tersebut dilihat cukup baik dan diharap akan dapat berterusan,” katanya. – 7 Mei 2017.