Mohd. Fared Kekal Presiden PSBNK

Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani mengekalkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Sukan Boksing negeri Kelantan (PSBNK)
dalam pemilihan kepimpinan Sesi 2017 – 2019 persatuan itu semalam.

Mesyuarat yang berlangsung itu sebulat suara mengekalkan kesemua barisan kepimpinan lama persatuan termasuk Rizal Man Yunus menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Turut terpilih semula untuk menyandang tanggungjawab adalah dua Naib Presiden, Kamaruddin Hamzah dan Zakaria Chik serta 10 ahli jawatankuasa persatuan tersebut.

Mohd. Fared berkata, beliau bersyukur masih diberi ruang untuk berkhidmat dan berazam untuk melakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi sukan Muay Thai khususnya di Kelantan.

“Persatuan ini sebenarnya adalah lubuk melahirkan peninju Muay Thai untuk mewakili negara seperti Ain Kamaruddin dan Mat Ropi Hassan yang akan bertanding di Sukan SEA ke-29 nanti.

“Kami menghadapi kekangan kewangan tetapi semangat dan minat tinggi oleh penggiat sukan ini sanggup berkorban wang serta tenaga agar anak-anak muda kita mempunyai platform dan tidak terjebak dengan anasir negatif.

“Sehingga kini PSBNK sudah mempunyai tidak kurang 1,400 peninju muda yang berlatih di bawah 70 kelab naungan kami,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 Tahun 2017 PSBNK semalam. – 7 Mei 2017.