Nilai Ringgit Jatuh Berterusan Hanya Spekulasi

Dakwaan kononnya nilai ringgit menghadapi kejatuhan berterusan menjelang September ini hanya telahan tidak berasas pihak tertentu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika menafikan perkara itu berkata, keadaan ekonomi dunia kini bertambah baik dan nilai ringgit semakin kukuh.

Katanya, dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan pihak tertentu terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ini Nujum Pak Belalang, semakin dekat PRU macam-macam dakwaan ditimbulkan walhal tiada siapa yang mampu membuat unjuran yang tepat.

“Paling penting kerajaan sentiasa berusaha memantapkan kedudukan ekonomi negara menerusi pelbagai dasar yang sedang dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Keempat Politeknik Jeli, hari ini.

Mustapa memberitahu, sektor perdagangan juga menunjukkan peningkatan semakin memberangsangkan terutama dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Kita mencatatkan peningkatan kira-kira 23 peratus dari Januari hingga Mac dan ini satu rekod sejak 2010,” katanya.

Tambahnya, kerajaan yakin prestasi itu boleh ditingkatkan dan mencapai sasaran sejajar perkembangan ekonomi dunia. – 7 Mei 2017.