Pakatan Harapan Tidak Mampu Tumbangkan BN

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dilihat belum mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” Kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Kata Ahmad, setakat ini tiada fakta kukuh yang menunjukkan gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM akan menang dalam PRU-14.

“Tidak ada ramalan pun mengatakan bahawa Pakatan Harapan akan menang. Kita lihat tiada fakta boleh menunjukkan DAP dan Pakatan Harapan akan berjaya seperti parti-parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan di sebuah hotel, Kota Bharu hari ini.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tidak bimbang dengan pakatan berkenaan malah sebaliknya yakin PAS mampu menghadapi pilihanraya dengan lebih kuat.

“Kita kekal dengan blok ketiga pembangkang dan tetap menggangap UMNO dan BN sebagai lawan dalam pilihan raya nanti selain DAP dan Pakatan Harapan,” katanya. – 7 Mai 2017.