SPRM Bimbang Peningkatan Gejala Rasuah Babitkan Mahasiswa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan rasa bimbang dengan peningkatan gejala rasuah membabitkan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah tahun lepas menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 orang mahasiswa yang menjadi responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa.

“Angka ini membimbangkan kerana kajian (yang sama pada) 2015 menunjukkan 10.7 peratus manakala pada 2014 hanya 11.3 peratus pelajar yang menyatakan kesanggupan untuk menerima rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Seminar Graduan Holistik anjuran bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kementerian Pendidikan Tinggi dan SPRM.

Kata Dzulkifli, kajian itu turut mendapati 18.2 peratus pelajar bersedia memberi rasuah agar mereka tidak dikenakan tindakan, dan angka ini meningkat berbanding 17.4 peratus pada tahun 2015.

Beliau berkata, statistik SPRM bagi tempoh di antara 2013 dan Oktober 2016 menunjukkan 1,045 orang daripada 1,092 orang pesalah rasuah yang ditahan adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Sementara itu, dalam sidang medianya beliau berkata, SPRM akan mempertingkatkan lagi kaedah bagi mendidik golongan muda membenci amalan rasuah.

“Penekanan ini bukan sahaja tertumpu di peringkat universiti tetapi kita juga akan cuba untuk memastikan usaha-usaha pendidikan (pencegahan rasuah) ini dijalankan daripada peringkat awal lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, golongan muda khususnya mahasiswa sewajarnya bersama-sama SPRM menggembleng tenaga dalam usaha mencegah gejala rasuah yang akan mencacatkan kemakmuran negara.

“Isu rasuah merupakan isu rakyat dan golongan muda, mahasiswa perlu sentiasa bersama SPRM di barisan hadapan bagi membela isu-isu yang berkisar tentang rakyat khususnya golongan miskin serta penduduk di desa yang merasa ditindas,” katanya. – 7 Mei 2017.