JKM Nasihat Supaya Tidak Beri Sedekah Kepada Pengemis

Orang ramai diminta supaya tidak memberi sedekah kepada pengemis termasuk gelandangan bagi mengelak penipuan sindiket.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ruslan Baba berkata, orang ramai sebaliknya boleh berbuat demikian melalui saluran yang betul.

“Ia bagi mengelak ditipu sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah.

“Peminta sedekah di negara ini semakin ramai. Mereka berasakan ia cara cepat untuk mendapatkan wang sehingga sanggup berlakon menjadi cacat seperti kudung kaki dan mata buta sedangkan mereka sempurna dan mampu bekerja,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Ruslan berkata, pihaknya mendapati warga asing turut menjadi sebahagian peminta sedekah di negara ini.

Katanya, kira-kira 300 tangkapan dibuat sehari di seluruh negara dan sebanyak 45 peratus adalah warga asing berasal dari China, Indonesia serta pelarian Rohingya.

“Di Kelantan, ramai antara peminta sedekah dikesan adalah warga Thailand,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan daripada hasil meminta sedekah sangat lumayan terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

“Pendapatan mereka (pengemis) boleh mencecah sehingga RM1,000 hanya dalamn tempoh tiga jam ketika Ramadan,” katanya. – 8 Mei 2017.