Maut Ditikam Adik Sendiri

Seorang lelaki maut selepas ditikam adik sendiri yang dipercayai mengalami masalah mental.

Kejadian di Kampung Kulim, Tumpat kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi itu, mangsa berusia 52 tahun ditikam dibahagian dada dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Wakaf Baru.

Difahamkan, dua beradik yang tinggal bersama itu dikatakan bertengkar di rumah mereka sebelum mangsa ditikam suspek.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke klinik untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental.
“Suspek yang merupakan adik lelaki mangsa berusia 50 tahun dikatakan telah menikam mangsa di bahagian dada dan perut,” katanya ketika dihuhungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat manakala suspek telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 8 Mei 2017.