PBT Gagal Kutip Cukai RM51.12 Juta

Sebanyak RM51.12 juta cukai taksiran gagal dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan sehingga 31 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kegagalan memperoleh cukai yang menjadi sumber pendapatan setiap kerajaan tempatan itu telah menjejaskan penyampaian perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Sehubungan itu kata Ahmad, pihaknya sudah mengarahkan setiap PBT supaya membuat kajian mencari punca tunggakan cukai yang sangat besar itu.

“Kita meminta setiap PBT mengkaji punca dan membuat pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah tunggakan ini.

“Perlu ada kerjasama antara PBT dan rakyat, PBT berkhidmat untuk rakyat manakala rakyat pula membayar cukai.

“Buat perbincangan bagaimana cukai yang tertunggak ini boleh dikutip semula,” katanya selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan.

Tambah Ahmad, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mendahului senarai tunggakan cukai tertinggi iaitu RM 20.49 juta diikuti Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) RM 5.48 juta; Majlis Daerah Pasir Putih (MDPP) RM 4.91 juta dan Majlis Daerah Machang (MDM) RM 4.65 juta. – 8 Mei 2017.