PSBNK Rancang Anjur Kejohanan Muay Thai Wanita

Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) merancang menganjurkan kejohanan Muay Thai khusus untuk wanita dan akan berusaha mendapatkan restu serta keizinan kerajaan negeri.

Presiden PSBNK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri akan memberi kelonggaran untuk mengadakan kejohanan bagi atlet wanita dan akan akur dengan sebarang syarat terutama sudut pemakaian menutup aurat yang ditetapkan.

“Kalau sukan bela diri seperti taekwando dan karate dibenarkan untuk wanita maka tidak ada salahnya jika atlet Muay Thai juga diberi peluang sama.

“Kelantan pernah gondol dua pingat emas melalui Nuur Aina Ab. Rahim dan Nor Azeira Alias dalam acara Muay Thai wanita di Sukan Malaysia (Sukma) 2013 walaupun sebelum itu mereka tidak pernah berpengalaman bertarung atas pentas jadi rugi kalau kita tidak cuba cari lagi peninju wanita berpotensi,” katanya.

Sementara itu juga PSBNK merayu kerajaan negeri mengurangkan jumlah cukai hiburan yang dikenakan ke atas penganjuran kejohanan dan perlawanan Muay Thai di negeri itu.

Katanya, persatuan itu dan penggiat Muay Thai bukan golongan yang mengejar keuntungan sebaliknya banyak berkorban masa, tenaga dan wang sendiri untuk memajukan sukan tersebut.

“Tujuan utama kami bergiat memajukan sukan ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan gejala sosial.

“Melalui sukan Muay Thai anak muda bukan sahaja belajar seni bela diri malah ada yang telah berjaya kami asuh sehingga terpilih mewakili negara,” katanya. – 8 Mei 2017.