Forkey Doe Didenda RM6,000

Francis Forkey Doe mengaku bersalah memiliki kereta klon jenis BMW 325i, Jumaat lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Penyerang utama Selangor itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Atiqah Abdul Karim selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Doe, 31, warga Liberia kemudiannya dikenakan hukuman denda sebanyak RM6,000

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Doe didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu BLK 17 pada kereta BMW 325i di tempat letak kenderaan di hadapan Restoran Alfa Maju, Jalan Puteri 1/6, Bandar Puteri, Puchong jam 4 pagi pada 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 9 Mei 2017.