Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia 21 hingga 23 Julai Depan

PAS dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-4 di Kota Bharu pada 21 sehingga 23 Julai depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program selama tiga hari itu dijangka bakal dihadiri lebih 300,000 orang.

Katanya, selain himpunan besar-besaran, antara pengisian lain dalam ijtimak tersebut ialah seminar dakwah rantau Asia dan seminar ulama rantau Asia yang bakal dihadiri oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam dari seluruh Asia.

Selain itu, pihaknya juga menjemput seluruh pertubuhan Islam dari negara ini termasuk UMNO.

“Ijtimak tersebut diadakan adalah untuk mempamerkan nilai-nilai Islam yang sebenar supaya tidak disalah anggap kononnya gerakan Islam itu adalah pengganas.

“Ijtimak yang bakal berlangsung itu juga merupakan kali ketiga diadakan selepas diadakan di Terengganu sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program tersebut di JKR 10. – 9 Mei 2017.