Kehendak Mustapa Sendiri

Pengguguran Datuk Mustafa Ali daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS adalah atas permintaan beliau sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Mustapa telah berjumpa Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memberi pandangan supaya jawatan tersebut diberikan kepada tokoh baharu yang layak.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menasihatkan pelbagai pihak supaya tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu.

“Dalam pertemuan itu, Mustapa juga memaklumkan bahawa beliau sedia menjadi penasihat dan pembimbing dalam PAS. Presiden lihat cadangan Mustapa itu positif dan mengambil Mustapa sebagai penasihatnya.

“Pengalaman Mustapa dalam parti cukup lama dan kita yakin beliau mampu membimbing pelapis-pelapis muda dalam PAS,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Jawantankuasa PAS Pusat baru-baru ini mengumumkan Mustapa digugurkan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya dan menggantikan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memegang jawatan itu.

Selain Mustapa, PAS juga membuat pertukaran bagi jawatan Pesuruhjaya PAS di tiga negeri iaitu Selangor, Terengganu dan Johor. – 9 Mei 2017.