Kelantan Bebas Rasuah Menjelang 2020

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan untuk menjadikan Kelantan sebagai negeri bebas serta bersih rasuah menjelang tahun 2020.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Samsudin Yusoff berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya akan terus mempertingkatkan kempen serta penerangan mengenai isu rasuah bagi memberi kesedaran kepada rakyat di negeri yang digelar Serambi Mekah itu.

Dalam masa sama, beliau juga meminta orang ramai memberi kerjasama dengan tampil melaporkan mengenai sebarang kes rasuah dan salah guna kuasa sekiranya mempunyai maklumat.

“Kita ingin mengajak rakyat menyokong dan bersama kita dalam usaha memerangi jenayah rasuah ini,” katanya ketika ditemui selepas bertemu orang ramai sempena kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di stesen bas Lembah Sireh.

Tambah Moh Samsudin, pihaknya memandang serius kes berkaitan rasuah dan akan menahan sesiapa sahaja yang terlibat tanpa memilih bulu.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menawar, meminta dan menerima suapan. Kita juga sentiasa membuat pemantauan dan meminta masyarakat bersama-sama dengan SPRM dalam menangani gejala rasuah,” katanya. – 9 Mei 2017.