Laluan Gua Musang – Lojing Dilanda Banjir Lumpur

Laluan Gua Musang – Lojing tergendala selama enam jam ekoran banjir lumpur yang berlaku di Kilometer 61 Jalan Gua Musang – Lojing hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat yang melanda daerah tersebut sejak malam tadi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Mohd. Yusalmi Mohd. Yusof berkata, ia menyebabkan air lumpur bersama sisa kayu reput memenuhi jalan terbabit.

Katanya, laluan terbabit ditutup pada semua lalu lintas kira-kira enam jam sebelum dibuka semula pada jam 11.30 pagi.

“Kita dimaklumkan ada sebuah lori dihanyutkan banjir lumpur ketika pemandu dalam perjalanan dari Lojing ke Gua Musang dan tidak menyedari kejadian banjir berkenaan kerana keadaan yang gelap.

“Pemandu lori itu sempat terjun dari kenderaannya bagi menyelamatkan diri ketika lori itu dihanyut arus deras,” katanya ditemukan hari ini. – 9 Mei 2017.