MARA Bantu Bangunkan Usahawan Kelantan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk pembiayaan serta pembangunan usahawan di Kelantan pada tahun ini.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri, Kamarul Zaman Mohamad berkata, peruntukan itu bakal dimanfaatkan oleh 350 usahawan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM32 juta diperuntukkan untuk bidang perniagaan manakala RM2 juta untuk latihan dan keusahawanan.

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk membantu usahawan bumiputera supaya dapat mengembangkan perniagaan dan berjaya dalam bidang keusahawanan.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Pemilikan Food Truck di Negeri Kelantan di Perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, MARA juga turut menyediakan pembiayaan kepada usahawan yang berminat dalam industri Food Truck.

“Sekarang, industri Food Truck sudah menjadi satu fenomena dan perniagaan ini dilihat lebih kompetetif dengan sambutan yang diterima daripada masyarakat.

“Kita buka perniagaan Food Truck ini kepada beberapa jenis perniagaan seperti gunting rambut, spa rawatan dan kecantikan, pakaian dan apa jua jenis perniagaan lain,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini kira-kira 80,000 usahawan di negeri ini telah menikmati manfaat pembiayaan daripada MARA. – 9 Mei 2017.