PAS Kata PAN Tak Malu

PAS menyifatkan PAN sebagai tidak malu kerana meminta untuk mengambil alih jawatan Exco dalam kerajaan Selangor.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan di Selangor ketika ini masih baik kerana barisan pentadbiran sedia ada masih diterima oleh rakyat negeri itu.

“Kalau saya, rasa malu hendak minta jawatan, sebab kita (PAN) bertanding atas tiket parti lain kemudian minta hendak jadi Exco, payah nak sedar diri,” katanya.

Kemelut politik di Selangor akibat pergeseran antara PAS dan PKR makin kusut apabila PAN mula campur tangan dengan memberi tekanan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali supaya merombak pentadbiran negeri.

PAN turut memberi bayangan parti itu sudah bersedia mengambil alih jawatan Exco, kedudukan dalam anak-anak syarikat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatan di peringkat akar umbi yang ketika ini disandang PAS.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Saya melihat tidak ada isu daripada segi pentadbiran, rakyat menerima dengan baik, pentadbiran berjalan dengan baik dan pencapaian oleh semua Exco PAS juga sangat cemerlang.

“Bagaimanapun, apabila melibatkan soal parti khususnya hubungan antara PAS dan PKR, kita serah pada Majlis Syura untuk membuat keputusan apabila mengadakan perbincangan nanti. Pada masa ini, pentadbiran berjalan seperti biasa,” katanya. – 9 Mei 2017.