Mesyuarat Majlis Syura Esok Tentukan Usul Putus Kerjasama Dengan PKR

Majlis Syura PAS akan bermesyuarat esok bagi membincangkan keputusan berhubung hubungan kerjasamanya dengan PKR.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau akan hadir ke mesyuarat itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

“Mesyuarat akan diadakan esok, kita akan bincang dahulu sebelum buat sebarang keputusan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta hari ini.

Muktamar PAS Ke-63 baru-baru ini meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Usul bersama 21 bahagian PAS, serta Dewan Ulama dan Dewan Pemuda, diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan.

Dalam usul berkenaan, PKR dituduh melanggar syarat “tahaluf siyasi” seperti menyokong PAN dan menentang PAS selain dilihat bersama DAP menentang keras usul presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.

PKR juga dituduh bersikap biadab dan celupar terhadap PAS sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan.

 

Dengan sokongan itu, usul tersebut akan diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad. – 10 Mei 2017.