Pakatan Harapan Bimbang Kekuatan PAS

PAS menyifatkan taktik Pakatan Harapan yang diketuai DAP dengan cuba mengaitkan parti itu dengan UMNO untuk mengelirukan penyokong PAS sebagai tidak berhasil.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya rakyat terus memberi sokongan kepada PAS dan ini terbukti dengan penambahan ahli parti itu pada saban tahun.

Malah, Takiyuddin juga menyifatkan serangan bertali arus Pakatan Harapan terhadap PAS membuktikan kebimbangan serta ketakutan mereka dengan kekuatan parti itu.

“Sekiranya PAS tidak kuat mengapa mereka (Pakatan Harapan) perlu serang. Perkara itu jelas menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kekuatan PAS yang terus mendapat tempat di hati masyarakat.

“Taktik (mengaitkan PAS dengan UMNO) walaupun mereka tahu perkara itu tidak akan menjadi kenyataan adalah untuk menjejaskan PAS.

“Malah, kita lihat mereka juga menjalinkan hubungan dengan UMNO seperti kerajaan Pulau Pinang termasuk PAN di Kelantan,” katanya.

Tambahnya, penambahan ahli baharu PAS sejak akhir-akhir ini terus menunjukkan perkembangan yang cukup baik.

Katanya, situasi tersebut terbukti apabila keahlian baharu PAS meningkat antara 7,000 sehingga 8,000 sebulan.

“Kita akan terus meningkatkan sesi penerangan dan menangkis segala serangan daripada pelbagai pihak khususnya Pakatan Harapan,” katanya. – 10 Mei 2017.