Peniaga Pasar Malam Rogol Remaja Dijel 12 Tahun, Tiga Kali Sebatan

Seorang peniaga pasar malam dihukum penjara 12 tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol seorang remaja tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas Muhammad Faris Aiman Amran, 19, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 19 tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Bukit Marak, Bachok kira-kira pukul 4.20 petang pada 27 Jun tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Ilyas Mohd. Noor.

Mohd. Ilyas memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan terhadap tertuduh berikutan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Bagaimanapun Norazlinawati memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kesalahan serius yang dilakukannya.

Nazri kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan tiga kali sebatan terhadap tertuduh dan hukuman itu berjalan bermula dari tarikhnya ditangkap. – 10 Mei 2017.