PAN Masih Menagih Kasih PKR

PAN menyifatkan PAS masih menagih kasih di dalam pentadbiran kerajaan Selangor meskipun parti itu telah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, PAS masih lagi terhegeh-hegeh dengan kerajaan Selangor bagi mengekalkan anggota mereka di dalam exco kerajaan negeri itu.

“Bagi saya, PAS yang masih terhegeh-hegeh menagih kasih bersama PKR. (Ini kerana), dalam Muktamar PAS baru-baru ini telah membuat keputusan, iaitu PAS telah bercerai dengan PKR.

“Jadi, apa yang Tuan Ibrahim nak tunggu lagi (setelah keputusan yang dibuat oleh Muktamar PAS),” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan PAN sebagai parti yang tidak bermaruah apabila meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merombak pentadbiran negeri itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan PAS sekarang ini bukan sebuah parti demokratik kerana tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh muktamarnya sendiri berhubung keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Keputusan (mengenai perihal tahalul siyasi di antara PAS dengan PKR) telah dibuat. Yang saya faham, Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi dalam perlembagaan PAS.

“Jadi, adakah perlu menunggu keputusan Majlis Syura (berhubung perkara itu). Jadi, saya nampak parti ini bukannya parti yang demokratik,” katanya. – 11 Mei 2017.