Tahaluf Siyasi PAS-PKR Tamat

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan PKR berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hubungan tersebut terbatal kerana terdapat banyak perlanggaran syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Katanya, ia termasuk langkah PKR menentang sebahagian daripada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS seperti usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Akta 355) atau RUU 355.

“PKR melanggar adab bekerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti Islam itu.

“PKR juga khianat dalam hubungan politik dengan PAS apabila bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Ibu Pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, petang ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Selangor, Nik Muhammad Zawawi berkata, ia diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk terhadap kepentingan Islam dan rakyat. – 11 Mei 2017.