FAMA Tiada Kuasa, Musang King Tidak Tersenarai Harga Barang Kawalan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tiada kuasa untuk mengawal dan menetapkan harga siling bagi durian jenis Musang King.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, ia kerana buah itu tidak termasuk dalam senarai harga barang kawalan terutama pada musim-musim tertentu.

Katanya, FAMA hanya boleh menggunakan pendekatan mengikut peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan 2008 terhadap produk pertanian itu.

“Melalui peraturan ini, penjual perlu mempamerkan harga dan gred serta negara asal buah tersebut kepada pembeli bagi memudahkan mereka mengetahui ciri-ciri durian Musang King,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai isu penjualan durian jenis musang king yang dikatakan terlalu tinggi hingga mencecah RM100 sekilogram.

Ahmad ditemui pemberita pada Program Promosi Lebihkan Makan Ulam-Ulaman sempena Festival Hari Guru Kebangsaan di Plaza Angsana di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata, kekurangan pengeluaran pada luar musim menjadi faktor utama harga produk pertanian itu melambung tinggi.

“Durian ini mempunyai dua musim iaitu musim besar yang berbuah antara bulan Julai dan September manakala musim kecil pada hujung Disember hingga Mac.

“Pada waktu musim, harga jualan akan lebih murah kerana bekalan banyak dan apa yang berlaku sekarang disebabkan luar musim,” katanya. – 12 Mei 2017.