PAS Lebih Bermaruah Jika Tiga Exconya Di Selangor Lepas Jawatan

PAS hanya menghimpun dosa sekiranya masih mengekalkan tiga exconya dalam kerajaan PKR Selangor selepas Majlis Syura Ulamanya semalam memutuskan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu terbatal.

Seorang penulis politik, Mohd. Sayuti Omar berkata, PAS tidak wajar bersubahat dengan parti yang didakwa telah mengkhianati tahaluf siyasi tersebut.

“Membiarkan mereka berada dalam kerajaan Selangor seperti menghimpun dosa buat mereka,” katanya sebagaimana dilaporkan sebuah portal hari ini.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan PKR berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hubungan tersebut terbatal kerana terdapat banyak perlanggaran syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Katanya, ia termasuk langkah PKR menentang sebahagian daripada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS seperti usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Akta 355) atau RUU 355.

Mohd. Sayuti berkata, justeru adalah wajar PAS mengarahkan tiga exconya di Selangor mengosongkan kerusi masing-masing.

“Insya-Allah maruah dan keyakinan orang ramai terhadap PAS akan dilihat lebih hebat lagi sekiranya ketiga-tiga Exco (PAS) itu meletak jawatan.

“Di situlah keberanian dan kesucian perjuangan PAS. Jangan pula satu masa benci PKR di masa lain seronok dengan MB dari PKR,” katanya. – 12 Mei 2017.