Pemimpin UMNO Kata Bukti PAS Berani

Tindakan PAS yang mengambil keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR membuktikan parti Islam itu berani serta tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangannya.

Setiausaha UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, malah, langkah itu dilihat wajar setelah PKR didakwa tidak konsisten dalam persefahaman politik mereka.

“Apabila kefahaman tahaluf siasi diasaskan kepada kerjasama politik bermotif kebersamaan, namun tidak disertakan dengan keyakinan, maka eloklah ia ditamatkan.

“Apa yang Majlis Syura Ulamak lakukan adalah tepat, tambahan pula bila rakannya mengkhianati pakatan yang telah dipersetujui,” katanya kepada sokmo.net.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hubungan tersebut terbatal kerana terdapat banyak perlanggaran syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan tersebut tidak menjejaskan perjuangan PKR.

Beliau menafikan dakwaan kononnya PKR mengkhianati tahaluf siyasi yang terbentuk antara kedua-dua parti sejak sekian lama.

“Kami tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik,” katanya. – 12 Mei 2017.