PM Selar Negarawan Khianati Parti

Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan beberapa bekas pemimpin negara yang sanggup mengkhianati UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan peribadi.

Perdana Menteri itu berkata, malah tindakan mereka sangat mengaibkan apabila sanggup bersekongkol dengan kumpulan yang pernah menjadi musuh politiknya.

“Sungguh tidak diduga ada satu dua bekas pemimpin negara termasuk bekas negarawan yang pernah kita sanjung, tergamak dan sanggup bersubahat dan mengkhianati parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Tanpa menamakan mereka berkenaan beliau berkata, pemimpin terbabit sebelum ini pernah mengajar anggota UMNO menanam sikap kebencian terhadap DAP yang dianggap parti cauvinis dan rasis yang membenci orang Melayu dan agama Islam.

“Yang menyedihkan beliau sanggup menjilat ludah, berdamping dan bercium mulut dengan musuh kita, musuh UMNO yang pernah dipimpin beliau selama berpuluh tahun hanya kerana agenda peribadinya,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana kesetiaannya kepada UMNO dan BN.

“Saya ucapkan terima kasih malam ini kepada presiden UMNO keenam Pak Lah (Abdullah) yang tetap setia kepada UMNO dan BN.

“Terima kasih Pak Lah kerana menunjukkan contoh teladan bagaimana seorang bekas presiden harus menunjukkan kesetiaan berpanjangan kepada parti yang pernah dipimpinnya,” katanya. 12 Mei 2017.