Tiga Exco PAS Diminta Lepas Jawatan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meminta tiga exco PAS melepaskan jawatan masing-masing.

Permintaan itu dibuat susulan Majlis Syura Ulama PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR kelmarin.

Tiga exco terbabit adalah Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Bagaimanapun, Azmin memberi jaminan PAS boleh kekal sebagai sebahagian kerajaan negeri selaras dengan mandat kemenangannya pada pilihan raya umum 2013.

Malah, difahamkan wakil PAS akan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung.

Azmin dikatakan terpaksa bertindak sedemikian ekoran tekanan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan yang disfatkan sebagai tidak masuk akal untuk terus bersama selepas parti itu mengumumkan ‘perceraian’.

Sementara itu, semasa ditemui media, Azmin melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan Majlis Syura dan beliau akan memberi taklimat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sedang dalam perjalanan pulang dari New York. – 13 Mei 2017.