Dalang Pecah Masuk Pejabat Kerajaan Ditahan

Seorang lelaki dipercayai menjadi dalang 14 kes pecah masuk beberapa pejabat kerajaan di sekitar Kota Bharu sepanjang tahun ini ditahan polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah pada pukul 12 tengah hari ini.

“Polis sedang menyiasat sama ada suspek turut terlibat dalam kes pecah masuk pejabat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim bulan lalu.

“Selepas disoal siasat, suspek yang tidak bekerja mengaku terlibat dengan kebanyakan kes pecah masuk pejabat agensi kerajaan di sekitar Kota Bharu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Din, dalam serbuan tersebut pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Axia, sebuah komputer riba, sebuah pemain cakera padat, sebuah handycam, sebuah kamera dan dua unit powerbank.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – 14 Mei 2017.