Suami, Isteri Dituduh Mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas lapan pertuduhan melakukan eksploitasi ke atas lapan remaja pada Mac lalu.

Tertuduh Muslim Ab. Karim, 56, dan isterinya Zaleha Mohamad, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Muslim dan Zaleha didakwa bersama-sama telah memperdagangkan untuk tujuan eksploitasi empat remaja perempuan dan empat remaja lelaki berusia 13 hingga 16 tahun.

Kesemua perbuatan itu dilakukannya di di hadapan Bank Islam di Jalan Mahmood, Taman Firdaus SBJ, Jalan Perempuan Zainab II antara pukul 11.35 malam hingga 12.25 tengah malam pada 13 dan 14 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas manakala peguam tertuduh tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Terdahulu, pasangan terbabit turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, Kuantan dan Raub, Pahang atas pertuduhan yang sama. – 14 Mei 2017.