Tok Pa Tidak Kekok Beraksi Di Padang

Pesta Bola Keluarga SIC OLDBOYS 2017 yang berlangsung di Maktab Sultan Ismail (SIC) semalam disambut meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung.

Majlis bertambah meriah dengan kehadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang sama-sama meluangkan masa beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan pesta bola tersebut.

Mustapa yang juga alumni SIC mengetuai pasukan pilihan Tok Pa menentang pasukan pilihan SIC.

Kehebatan beliau yang tidak kekok semasa beraksi ternyata memukau setiap penonton yang menyaksikan persembahannya di luar padang.

Pada perlawanan tersebut pasukan pilihan Tok Pa menang 1-0 keatas pasukan pilihan SIC menerusi jaringan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang Sheikh Razali Shiekh Ahmad.

Pesta julung kali itu dianjurkan oleh Koperasi Bekas Pelajar Maktab Sultan Ismail 87 (KOSIC) dengan kerjasama SIC bertujuan mengeratkan ukhuwah selain memupuk semangat kesukanan dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan bekas pelajar serta maktab itu sendiri.

Sementara itu, semasa ditemui pemberita Mustapa memberitahu, kesediaannya untuk menjadi penaung pesta bola tersebut pada tahun-tahun akan datang demi ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar maktab terbabit terus subur.

“Tadi Pengerusi Penganjur (Mejar (B) Naemat Sukor Mohamed) ada meminta agar saya terus menjadi penaung pesta bola ini untuk tahun-tahun akan datang.

“Maka jawapan saya adalah boleh. Kita mahukan ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar di maktab ini terus subur kerana saya juga bekas pelajar di sini,” katanya.

Sebanyak lapan pasukan yang kesemuanya terdiri daripada bekas pelajar tahun 1983 hingga 1990 berentap sama sendiri dalam acara kejohanan pesta bola tersebut dengan pasukan SIC ’87 muncul sebagai juara. – 14 Mei 2017.