PAS Bincang Kedudukan Tiga Exconya Di Selangor Khamis Ini

Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan kedudukan tiga exconya dalam kerajaan Selangor.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, kedudukan ketiga-tiga exconya di negeri tersebut masih belum dimuktamadkan biarpun Majlis Syura Ulama memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Kami akan serahkan kepada jawatankuasa pusat parti ini untuk berbincang tentang keputusan tersebut.

“Mereka akan bertemu di Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara itu pada Khamis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya PAS Kawasan Kepala Batas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali telah meminta ketiga-tiga exco PAS iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib supaya melepaskan jawatan masing-masing dalam satu pertemuan pada Jumaat.

Ditanya sama ada PAS menjangkakan tiga pemimpinnya akan meletak jawatan sebagai exco Selangor, Hashim berkata, ia tidak dapat dielakkan. – 15 Mei 2017.