Kerajaan Negeri Perlu Bincang Dengan JAKOA Sebelum Luluskan Projek

Kerajaan negeri dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum meluluskan sesuatu projek di kawasan pedalaman atau kawasan hutan simpan Orang Asli di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan tersebut penting bagi mengelakkan kawasan projek berkenaan melibatkan perkampungan Orang Asli.

Beliau berkata, sebelum ini, terdapat pelbagai kegiatan seperti pembalakan, perladangan dan perlombongan di kawasan terbabit diluluskan oleh kerajaan negeri tanpa mengadakan sebarang perbincangan sekali gus telah menggangu kehidupan masyarakat berkenaan.

“Cadangan saya, elok bincang dahulu dengan Jakoa supaya masalah pertelagahan antara pihak pemaju, pembalak dan orang Asli dapat diselesaikan. Bagi saya, isu Orang Asli ini melibatkan soal kemanusiaan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Bagi pihak Jakoa, kita akan terus mempertahankan masyarakat Orang Asli ini agar nasib mereka sentiasa terbela,” katanya selepas program bersama Orang Asli Pos Brooke selain melancarkan Kempen Kebersihan Kampung Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Gua Musang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, isu-isu berkaitan pencerobohan tanah dan pembalakan adalah tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing.

“Oleh itu, mereka perlu bertanggungjawab menyelesaikan sebarang perkara berbangkit melibatkan isu berkenaan,” katanya. – 16 Mei 2017.