PAS Mahu Exco Kekal Di Selangor

PAS mahu kekal berada dalam barisan Exco kerajaan PKR Selangor demi mempertahankan kepentingan Islam di negeri itu,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, parti itu juga mempunyai mandat daripada rakyat yang diberikan melalui pilihan raya umum lalu, justeru tiada keperluan bagi mereka untuk keluar daripada kerajaan Selangor sekarang.

“Kita mahu memastikan mandat rakyat dipenuhi dan paling utama adalah mempertahankan agenda Islam di negeri itu.

“Tiada sebab untuk kita keluar kerana DAP dahulu semasa memutuskan hubungan dengan PAS dan keluar dari Pakatan Rakyat pun tidak keluar dari kerajaan Selangor.

“Selagi Tuanku Sultan Selangor tidak memberi pandangan adalah lebih baik kita kekal dalam kerajaan” katanya.

Beliau diminta mengulas kemelut di Selangor apabila Pakatan Harapan yang diketuai DAP mahu tiga Exco daripada PAS meletakkan jawatan selepas keputusan parti itu menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tiga wakil PAS tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan menerima tekanan daripada sekutu dalam Pakatan Harapan khususnya PAN. – 16 Mei 2017.