Penyakit Kusta Dalam Kalangan Orang Asli

Beberapa kes melibatkan wabak penyakit kusta dikesan berlaku dalam kalangan penduduk Orang Asli.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kes penyakit kusta yang dilaporkan berlaku di perkampungan Orang Asli di Kelantan dan Rompin, Pahang itu sebelum ini didapati cukup mengejutkan.

Katanya, selain itu, pelbagai wabak lain seperti malaria, batuk kering (Tibi), denggi, kencing tikus dan kekurangan zat makanan juga didapati masih berlaku di perkampungan terbabit.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya telah mengambil langkah pencegahan dengan memperkenalkan kempen kebersihan perkampungan Orang Asli bagi mengatasi masalah kebersihan melibatkan masyarakat tersebut.

“Kita mahu mengambil langkah pencegahan awal bukannya apabila wabak ini semakin merebak baru tindakan diambil. Penyakit kusta khususnya tidak sepatutnya berlaku pada zaman sekarang ini,” katanya selepas program bersama Orang Asli Pos Brooke dan melancarkan Kempen Kebersihan Kampung Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Gua Musang.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 853 kampung Orang Asli di seluruh negara akan terlibat dengan kempen menjaga kebersihan tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan kempen ini secara berterusan.

“Aktiviti sempena kempen tersebut adalah seperti gotong royong membersihkan kampung, pemeriksaan kesihatan dan pameran kesihatan dan pelbagai lagi,” katanya. – 16 Mei 2017.