Jualan Minyak Masak Bersubsidi Dari Kilang

Seramai 500 keluarga di kawasan Kok Lanas berpeluang membeli minyak masak bersubsidi dari kilang untuk kegunaan bulan Ramadan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, sebanyak lima tan metrik minyak masak disediakan untuk jualan di Pasar Kok Lanas yang bermula pada pukul 10 pagi.

Menurutnya, menerusi jualan ini, pengguna boleh mendapatkan minyak masak bersubsidi pada harga lebih murah iaitu RM2.50 bagi satu kilogram.

“Ini adalah salah satu usaha Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memenuhi keperluan serta meringankan beban rakyat.

“Program ini juga sekaligus menepis dakwaan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini terutama menjelang bulan puasa,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Minyak Masak Terus Dari Kilang di Pasar Kok Lanas hari ini.

Program sama turut diadakan serentak hari ini di tiga lokasi lain iaitu di Pasar Awam Laloh (Kuala Krai), Pasar Tasik Raja (Pasar Baru Pasir Mas) dan Perkarangan Pejabat Penyelaras DUN Gual Periok, Gual Tinggi (Rantau Panjang).

Md. Alwi berkata, berdasarkan sambutan yang diterima oleh pengguna, program ini boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Penjualan ini boleh mengelak daripada kes-kes bekalan minyak masak bersubsidi disembunyikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mungkin selepas ini kita boleh buat jualan sebegini untuk gula, gandum dan barang-barang kawalan yang lain,” katanya. – 17 Mei 2017.