PKR, DAP Ganti Exco PAS Di Selangor?

PKR menerima keputusan PAS yang menamatkan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti tetapi menolak alasan yang diberikan parti Islam itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, PKR akan menentukan nasib tiga exco PAS di Selangor selepas membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali sekembalinya beliau dari Brussels, Belgium.

“PKR juga memutuskan bahawa semua lantikan politik dari parti itu di kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta,” katanya selepas mesyuarat biro politik parti itu di Ibu Pejabat PKR malam tadi.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

Difahamkan, Azmin akan diarahkan menghadap Sultan Selangor untuk menghantar nama barisan Exco yang baharu.

Jika berlaku kekosongan, kerusi exco terbabit akan diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan DAP. – 17 Mei 2017.