PKR Kelantan Akur

(Kemaskini) PKR Kelantan akur dengan keputusan Biro Politik parti itu yang memutuskan kesemua lantikan politik di negeri itu melepaskan jawatan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata, PKR Kelantan akan laksanakan semua keputusan tersebut selepas menerima arahan daripada pucuk pimpinan.

“Kami akan patuh pada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Mesyuarat Biro Politik PKR semalam memutuskan semua lantikan politik parti itu di dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.

“Perkara ini telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan,” kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah dalam satu kenyataannya.

Antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan adalah seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan anak syarikat kerajaan negeri.

Selain itu, kedudukan PAS dalam kerajaan PKR Selangor pula akan diputuskan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulang daripada lawatan rasmi di luar negara. – 17 Mei 2017.