PKR Sepatutnya Bertenang Dulu – Mohd. Amar

PKR tidak sepatutnya membuat keputusan terburu-buru dengan mengarahkan semua lantikan politik parti itu dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan dilepaskan berkuat kuasa serta merta.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah apabila hubungan PAS dengan PKR retak dan hangat diperkatakan sekarang, kedua-dua pihak perlu mengambil pendekatan bertenang terlebih dahulu.

“Kita tak jangka PKR akan buat keputusan seperti itu kerana saya fikir kita masih ada tempoh bertenang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan PAS hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, peletakan jawatan setiap lantikan politik melibatkan ahli PKR di Kelantan tidak akan menjejaskan rentak pentadbiran kerajaan negeri.

“Namun kita berharap semua wakil PKR sudi mempertimbangkan untuk kekal dengan jawatan lantikan politik masing-masing sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini atau sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apa-apa pun terserah kepada mereka, kita tak boleh halang jika mahu letak jawatan atau tidak,” katanya.

Tambah Mohd. Amar, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana wakil PKR.

Semalam PKR mengarahkan semua lantikan politik parti itu di Kelantan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat susulan daripada tindakan Majlis Syura Ulama PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, awal bulan ini.

Selepas PRU-13, kerajaan negeri telah melantik sebanyak 75 wakil PKR dengan pelbagai jawatan bagi membantu melicinkan pentadbiran di Kelantan.

Berikut adalah jumlah wakil PKR dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan.

1. Penyelia Parlimen – 3 (Tanah Merah, Machang, Ketereh)
2. Penyelia DUN – 3 (Kuala Balah, Paloh, Nenggiri)
3. Penghulu Tanpa Mukim – 14
4. Pegawai Pejabat Tanah dan Galian – 6
5. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) – 10
4. Ahli Majlis Daerah – 39

– 17 Mei 2017.