Mat Over Tampar David Teo Depan PM

Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam tadi kecoh apabila pelawak Mat Over menampar produser filem David Teo di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Insiden itu berlaku apabila David dikatakan tidak berpuas hati dengan cara Datuk Rosyam Nor mengendalikan majlis sebagai moderator.

Semasa majlis dialog berlangsung, David dilihat mahu memberi pendapatnya dan Rosyam membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.

Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan sehinggalah pelawak Mat Over atau Sulaiman Yassin muncul lalu menampar muka David.

Dalam video yang menjadi tular di laman sosial itu, kedengaran suara Mat Over yang tidak berpuas hati terhadap sikap David kerana bercakap kurang sopan di hadapan Najib sebelum menamparnya.

Situasi itu mengejutkan kira-kira 300 hadirin kebanyakannya terdiri daripada pelakon, penyanyi, pengacara tv dan selebriti agama.

Walau bagaimanapun, keadaan berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan.

Majlis dialog anjuran Yayasan Perdana Ummah dan diadakan di kediaman Najib di Putrajaya itu kemudian diteruskan seperti biasa. – 17 Mei 2017.