Nak Ajar David Beradab

Mat Over tidak berasa kesal dengan tindakan kerasnya yang menampar David Teo dalam Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam tadi.

Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yasin berkata, tindakan itu bagi mengajar David agar lebih beradab terutama apabila di hadapan pemimpin.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Majlis Dialog TN50 malam tadi kecoh apabila pelawak Mat Over menampar produser filem David di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Insiden itu berlaku apabila David dikatakan tidak berpuas hati dengan cara Datuk Rosyam Nor mengendalikan majlis sebagai moderator.

Sementara itu, David berkata, dia berhadapan dengan momen yang agak mencemaskan semalam.

“Tiba-tiba saja dia meluru serta menampar saya. Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri.

“Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya,” katanya. – 18 Mei 2017.