PAS Tidak Terkesan

PAS langsung tidak terkesan dengan keputusan PKR mengarahkan semua lantikan politiknya di Kelantan meletakkan jawatan serta merta.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan PAS Kelantan tidak pernah mendesak wakil mereka melepaskan jawatan namun apabila PKR membuat keputusan itu, pihaknya tidak berupaya menghalang.

“Pada dasarnya, dalam konteks kerajaan sama ada di Kelantan atau Selangor mana-mana pihak boleh meletak jawatan secara sukarela atau arahan parti. Hendak letak jawatan (di Kelantan), itu adalah hak mereka.

“Bagi PAS, kita buat keputusan untuk Exco kekal namun kalau mana-mana Exco kita hendak tarik diri itu adalah pilihan mereka.

“Di Selangor, kita berpandangan bahawa setiap pelantikan Exco itu adalah melalui perkenan Sultan Selangor. Sekiranya tidak ada titah atau Sultan perkenan Exco PAS letak jawatan, kita akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Kelmarin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan keputusan parti itu mengarahkan semua lantikan politiknya dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, menurut Wan Azizah, kedudukan PAS dalam kerajaan PKR Selangor pula akan diputuskan pimpinan parti itu selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulang daripada lawatan rasmi di luar negara. – 18 Mei 2017.