SPRM Rampas Wang Tunai RM800,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai kira-kira RM800,000 di rumah seorang anggota polis yang ditahan membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut di beberapa lokasi di Melaka.

Sumber SPRM memberitahu, wang tunai itu ditemui dalam stor di rumah anggota polis berkenaan di kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika serbuan dilakukan semalam.

Difahamkan, suspek lelaki berusia 52 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), IPK Melaka.

Suspek berpangkat koperal itu ditahan SPRM kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Siasatan awal mendapati susperk berperanan “mengutip” serta mengumpulkan wang daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut terbabit.

Sumber itu berkata, SPRM akan melakukan beberapa tangkapan lagi berhubung kes sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini anggota polis tersebut direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan itu.

Perintah reman sehingga 24 Mei ini dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas membenarkan permohonan SPRM. – 18 Mei 2017.