Insiden TN50 Kini Baik

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, insiden pada Majlis Malam Dialog TN50 baru-baru ini kini berkeadaan baik.

Menerusi akaun Twitternya, beliau berkata, walaupun keadaan agak tegang namun cadangan yang diberikan oleh penggiat seni pada malam itu akan diperhalusi.

“Perbincangan menjadi agak tegang pada malam itu, ia agak meriah tetapi semuanya sudah baik sekarang, segala cadangan akan didengari untuk myTN50,” tulis Najib di laman Twitter miliknya.

Mengulas lanjut, Najib juga meluahkan rasa puas hatinya dengan majlis tersebut yang berjalan lancar walaupun berlaku insiden yang tidak diingini.

“Sesi myTN50 yang bersemangat bersama penggiat seni tanah air, rata-ratanya, ramai gembira dapat bersama melakar hala tuju masa depan negara,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Majlis Dialog TN50 bersama penggiat seni kecoh selepas pelakon, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over menampar Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), Mejar (K) David Teo di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Insiden itu berlaku ketika majlis dialog berlangsung apabila David dilihat mahu memberi pendapatnya dan pengacara Datuk Rosyam Nor membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.

David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator.

Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan sehinggalah pelawak Mat Over yang tidak berpuas hati terhadap sikap David bertindak menamparnya. – 19 Mei 2017.