Kerajaan PAS Kelantan Belum Terima Surat Letak Jawatan

Kerajaan PAS Kelantan sehingga kini masih tidak menerima surat perletakkan jawatan daripada 75 wakil PKR yang memutuskan untuk melepaskan jawatan lantikan politik sepertimana yang diarahkan oleh pucuk pimpinan parti itu kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya menyerahkan kepada wakil PKR terbabit membuat keputusan sama ada ingin kekal atau sebaliknya.

“Kita tidak akan halang (wakil PKR) meletak jawatan, tetapi dalam masa sama, kita juga sudah menawarkan kepada mereka supaya kekal.

“Terpulang kepada individu pimpinan PKR tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini status lantikan politik PKR di Kelantan selepas parti itu mengarahkan wakilnya meletakkan jawatan serta merta.

Semalam, PKR Kelantan memaklumkan akan melepaskan semua 75 jawatan yang disandang wakil mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri selain menemplak PAS kerana gagal melakukan perkara sama di Selangor.

Dalam masa sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco pula berharap semua wakil PKR sudi mempertimbangkan untuk kekal dengan jawatan lantikan politik sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

Untuk rekod, antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan ialah seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan syarikat milik kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga merupakan Setiausaha Perhubungan PAS negeri berkata, pihaknya akan terus mengorak langkah selepas memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Malah, katanya, PAS juga sedia menentang PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sekiranya parti itu meletakkan calon di negeri ini.

“Di Tumpat khususnya, PKR telah membawa lari kerusi Parlimen ini dan kalau mereka meletakkan calon pada pilihan raya nanti, kita akan lawan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri Ab. Aziz Ab. Kadir enggan memberi sebarang komen apabila ditanya mengenai status perletakkan jawatan wakilnya di Kelantan. – 20 Mei 2017.