Pendawaian Semula Elektrik Percuma

Sebanyak 236 buah rumah keluarga miskin di kawasan Parlimen Machang dibantu menerusi program pendawaian semula elektrik secara percuma.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah berkenaan dibuat bagi membantu memberi keselesaan kepada golongan yang memerlukan sempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, seramai 200 pelajar Giat Mara ditugaskan untuk membuat pendawaian semula elektrik dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250,000.

“Di kawasan Machang ini, kira-kira 1,000 buah rumah miskin yang memerlukan pendawaian semula elektrik, jadi untuk fasa pertama ini, kita telah membantu sebanyak 236 buah rumah.

“Selepas ini, pendawaian semula elektrik akan diteruskan untuk fasa kedua dan ketiga yang melibatkan lebih banyak rumah. Kita tidak mahu masalah pendawaian ini menjadi punca berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Penyelenggaraan Elektrik Rumah Keluarga Miskin Peringkat Parlimen Machang & Program Jom Bantu Rakyat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelawek, Machang.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, kerajaan pusat telah meluluskan pembinaan GiatMara baharu di Machang dengan peruntukan berjumlah RM7 juta.

“GiatMara baharu ini adalah lebih besar dari segi bangunan, peralatan serta penambahan pelatih bagi menggantikan GiatMara sedia ada yang agak uzur.

“Lokasi untuk GiatMara baharu ini juga telah dikenalpasti iaitu di Batu 24 dan pembinaannya akan disiapkan dalam tempoh setahun,”katanya.

Tambah beliau, GiatMara baharu ini akan menyediakan kursus yang mempunyai kebolehcapaian pasaran kerja yang tinggi.

“GiatMara baharu ini akan menyediakan lebih banyak kursus yang berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membantu melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara,” katanya. – 20 Mei 2017.