PPBM Guna Modal Tepi Jalan

PAS menyelar sikap pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berterusan menyerang parti Islam itu dengan bermodalkan maklumat yang dipungut di tepi jalan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuduhan PAS bekerjasama dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berasas sama sekali.

“Sejak dulu lagi PAS konsisten, tiada sebarang kerjasama dengan UMNO.

“Bahkan semua kerusi kita lawan UMNO. Di Kelantan pun tak ada menunjukkan kerjasama UMNO dengan PAS, mereka pindahkan undi dan sebagainya, itu membuktikan tuduhan itu bohong.

“Saya fikir kalau kita pimpinan yang percaya kepada maklumat tepi jalan, kita tidak layak bercakap sebagai pemimpin. Saya fikir beliau sepatutnya dapatkan maklumat yang betul,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan PAS mahupun UMNO tidak akan letakkan calon jika salah satu daripada parti itu bertanding di mana-mana kerusi pada PRU14 nanti.

Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus memperkasakan blok ketiga dalam menghadapi pilihan raya umum.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPBM habis-habisan menyerang PAS kerana masih mengharapkan parti itu menyertai Pakatan Harapan.

“Kita sudah nyatakan tak akan bersama Pakatan Harapan kerana prinsip yang kita bawa sering ditentang oleh beberapa kumpulan dalam pakatan tersebut,” katanya. – 20 Mei 2017.