Azmin ‘Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-Sorong’

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong’ kerana masih terhegeh-hegeh untuk mengadakan rundingan dengan PAS.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Mohamed Azmin perlu sedar bahawa PAS sudah tidak mahu bekerjasama dengan PKR dan sepatutnya Timbalan Presiden PKR itu perlu membuat pendirian yang jelas berhubung isu di Selangor.

Dalam masa sama, Ibrahim juga percaya Mohamed Azmin kini berada dalam keadaan dilema memandangkan terdapat satu lagi kem di dalam PKR yang mahu semua wakil dan Exco PAS meletakkan jawatan dalam pentadbiran di Selangor.

“Saya lihat di dalam PKR ini ada dua kem, satu kem hendak PAS berhenti manakala Mohamed Azmin pula mahu wakil PAS kekal. Disitu kita dapat lihat berlaku perbezaan pendapat yang jelas.

“Mohamed Azmin pula masih terus berusaha hendak pujuk Pas kononnya pintu rundingan masih terbuka. Orang (PAS) sudah tidak mahu, cuba apa lagi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Wira Perkasa Kelantan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, tindakan Mohamed Azmin yang masih mahu mengadakan rundingan dengan PAS dilihat hanya semata-mata disebabkan kepentingan politik.

“Azmin dilihat masih lagi memerlukan PAS demi kesinambungan politik PKR khususnya di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim juga menasihatkan wakil dan Exco PAS di Selangor supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka masih mempunyai maruah dan jati diri. – 21 Mei 2017.