Jangan Terlalu Selesa – Wan Azizah

PKR menasihatkan akar umbinya agar tidak leka dengan keselesaan kedudukan terkini parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR kini sedang mendepani musuh dalam keadaan ‘padang’ yang tidak sama rata dan propaganda melampau.

“Amat penting untuk kita pastikan yang kita perlu mempunyai disiplin kerja yang fokus kepada hasilnya.

“Kita perlu lebih konsisten agar mesej kita terus sampai kepada akar umbi,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Kongres Nasional Tahunan PKR ke 12 hari ini.

Beliau berkata, PKR bertekad akan berjuang bersama dengan kesemua parti yang berada di bawah bumbung Pakatan Harapan.

Katanya, gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, PAN, DAP dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan gabungan yang membawa agenda reformasi yang jelas.

“Saf kepimpinan Pakatan akan menjadi lebih dinamik sekiranya Pakatan diteraju di bawah gabungan kepimpinan yang berpengalaman dan lebih muda.

“Kita sedar tentang realiti politik negara hari ini. Hanya gabungan utuh parti-parti pembangkang dapat mencabar keangkuhah pemerintah yang belum pernah ditumbangkan.

“Kita sudah menempa pelbagai kejayaan bersama Pakatan Rakyat. Formula kejayaan ini akan diulangi dengan Pakatan (Harapan),” katanya lagi. – 21 Mei 2017.